Wednesday, 29 August 2012

Isu 21 : Apakah Hukum Sembahyang di atas Kapal Terbang jika dalam keadaan Air yg tidak mencukupi dan tiada ruang solat yg disediakan..?


Apakah Hukum Sembahyang atas Kapal Terbang jika dalam keadaan Air yg tidak mencukupi dan tiada ruang solat yg disediakan..?


Soalan

Saya didalam kapal terbang Malaysia Airlines dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Makkah baru-baru ini, penerbangan hanya memakan masa 8 jam sahaja , sampai masuk waktu maghrib saya mengambil wudhuk dengan hanya air sebotol (tiada air yg disediakan ). Air tersebut hanya cukup untuk merata angota wudhuk sekali sahaja.Saya sembahyang diruang tengah dan tidak mampu untuk mengubah kearah yang saya rasa disebelah itu-lah kiblat disebabkan  kesempitan, Ini kerana Malaysia Airlines tidak menyediakan kemudahan Ruang Solat.
 

Persoalannya : Apakah sah wudhuk dan sembahyang yang saya lakukan? 

Am’mar Yusoff
Penang

 JAWAPAN

Terima Kasih Am’mar kerana melayari laman web kami.Alhamdullah jawapannya adalah begini :

Jumhur ulama’ bersependapat jumlah air sebotol itu mencukupi untuk berwudhu'; tambahan pula dalam perjalanan seseorang boleh menyapu stokin atau khuf (jika telah berwudhu sebelum memulakan perjalanan); maka penggunaan amatlah minima semasa musafir. Sukatan air satu sa' dan satu mud dalam feqah berbeza mengikut madzhab dan Imam-imam (Ulama’ fiqh).Sila Rujuk Kitab-kitab yang muktabar yg berkaitan.

Solat atas kapalterbang menuntut kita menghadap kiblat semampu yg mungkin sahaja kerana hukum solat dalam kenderaan yang bergerak tidak mensyaratkan kita mempastikan arah kiblat dengan tepat kerana kenderaan itu sentiasa bergerak dan kiblat boleh berubah dengan serta-merta.

Kesimpulan: wudhu' anda sah dan solat anda juga adalah sah.

Wa'ahua'lam. Sila layari lagi ibnubaijuri.blogsport.com

Rujukan
1.As-syikh sya’rawi, solat 'ala Madzhaahib Arba'ah (solat menurut empat madzhab),


Isu 20 : Apakah Rahsia Ibadah Solat..


Rahsia Solat

Kita sembahyang lima waktu sehari semalam tahukah kita setiap perbuatan yang kita lakukan semasa sembahyang sebenarnya ada rahsia disebaliknya.

Niat Sembahyang:- Sebenarnya memeliharakan taubat kita dari dunia dan akhirat

Berdiri Betul :- Fadilatnya ketika mati dapat meluaskan tempat kita didalam kubur

Takbiratul Ihram :- Fadilatnya sebagai pelita yang menerangi kita didalam kubur

Fatihah :- Sebagai pakaian yang indah-indah didalam kubur.

Rukuk :- Sebagai tikar kita didalam kubur

Iktidal :- Akan memberi minuman air dari telaga al-kautsarketika didalam kubur

Sujud :- Memagar kita ketika menyeberangi titian sirotul mustaqim

Duduk Antara Dua Sujud :- Akan menaung panji-panji nabi kita didalam kubur.

Duduk Antara Dua Sujud ( akhir ):- Menjadi kenderaan ketika kita dipadang masyar

Tahiyat Akhir :- Sebagai penjawab bagi setiap soalan yang dikemukakan oleh mungkar dan nangkir didalam kubur.
Selawat Nabi :- Sebagai pendinding api neraka didalam kubur

Salam :- Memelihara kita didalam kubur

Tertib :- Akan pertemuan kita dengan Allah Maka peliharalah solat

Rujukan : Internet tetapi Tidak dikenal pasti Sumber kesahihannya..

Isu 19 : Adakah boleh seseorang islam sembahyang wajib yang tertinggal di waktu matahari naik atau selepas asar dan apa kah hukumnya.


Soalan


Adakah boleh seseorang islam sembahyang wajib yang tertinggal di waktu matahari naik atau selepas asar dan apa kah hukumnya.

Jawapan

Terdapat lima waktu yang diharamkan mengerjakan sembahyang . Menurut Syaeikh Abu Syujak di dalam kitab matannya:
"Terdapat lima waktu yang tidak boleh seseorang itu mengerjakan sembahyang, iaitu: Selepas sembahyang subu hingga terbit matahari, ketika terbit matahari hingga menjadi sempurna dan naik hingga setinggi tombak, ketika matahari berada betul-betul ditengah langit hingga tergelincir, selepas sembahyang Asar sehingga terbenam matahari, ketika terbenam matahari sehingga terbenam dengan sempurna."
Penetapan waktu yang dilarang ini adalah berdasarkan hadis-hadis Rasulullah s.a.w., antaranya ialah:
Uqbah binAmir berkata: "Terdapat tiga waktu yang Rasulullah s.a.w melarang kita mengerjakan sembahyang atau menguburkan mayat, iaitu ketika terbit matahari secara nyata sehingga naik, ketika sesuatu berdiri tegak di tengahhari hingga tergelincir matahari, dan waktu matahari condong hampir terbenam." (Riwayat Muslim)
Abu Hurairah meriwayatkan dari Rasulullah s.a.w.:
"Bahawasanya Rasulullah s.a.w. menegah sembahyang selepas sembahyang Asar hingga terbenam matahari dan selepas sembahyang Subuh sehingga terbit matahari." (Riwayat Syaikhan)
 
Pengecualian 

. Tidak mengapa mengerjakan sembahyang pada lima tempat berkenaan di Mekah.
. Dikecualikan juga sembahyang-sembahyang yang mempunyai sebab yang mendahului, seperti sembahyang sunat tahiyatul masjid, sembahyang sunat wudhuk, sembahyang jenazah, sujud tilawah, sujud syukur, sembahyang istisqa' (gerhana). Juga termasuk sembahyang yang mempunyai sebab ialah sembahyang qadhak. Diharamkan pada waktu berkenaan mengerjakan sembahyang sunat yang tidak bersebab, seperti sembahyang sunat mutlak, atau sembahyang yang mempunyai sebab yang terkemudian seperti sembahyang sunat ihram, sembahyang tasbih dan sembahyang istikharah.
 
Wallahu a'lam
  
Rujukan
1. Fathul Mu'in (bihamisy I'anah al-Thalibin), Syeikh Zainudin al-Malbari
2. Kifayatul Akhyar, vol 1, Imam Taqiyuddin Abu Bakar bin Muhamad al-Husaini

Isu 18 : Adakah dikira jika seseorang melakukan solat sunat jika ia belum menqada'kan solat yg tertinggal


Soalanya:

Adakah sah sembahyang sunat (apa apa sunat) seseorang itu seandainya beliau tertinggal sembahyang wajibnya dan masih belum diganti (qada). 
Jawapan :
Terdapat beberapa istilah yang dirasakan perlu diberi penjelasan definasinya, agar pemahaman dapat lebih mendalam lagi. Iaitu --> Tunai (ada'), qadhak dan i'adah.
Tunai (ada')
Ada' ialah melakukan sesuatu perbuatan yang diwajibkan dalam waktu yang ditetapkan oleh syarak. Misalnya kalau sembahyang fardu Asar, dia melakukan sembahyang tersebut pada waktu tersebut.
I'adah (mengulang)
I'adah pula ialah melakukan perbuatan yang diwajibkan untuk kali kedua di dalam waktu yang ditetapkan oleh syarak. Contohnya, dia mengerjkan sembahyang Asar di dalam waktu Asar, tetapi kurang sempurna. Lalu dia sembahyang untuk kali keduanya di dalam waktu itu juga. Ini dinamakan i'adah.
Qadhak
Qadhak pula ialah mengerjakan perbuatan yang diwajibkan diluar dari waktu yang diwajibkan oleh syarak. Misalnya, dia mengerjakan sembahyang Asar selepas habis waktu berkenaan. Sudah masuk waktu maghrib baru nak sembahyang Asar.
Apa hukum qadhak?
Telah ijmak (tidak diperselisihkan oleh seorang ulamakpun) bahawa mengqadhak sesuatu amalan yang wajib adalah wajib hukumnya. Dasar pengambilan hukum ini ialah, hadis:
"Barangsiapa yang tertidur atau terlupa dari mengerjakan sembahyang, hendaklah dia kerjakannya apabila teringat." (Riwayat Ahmad, Syaikhan, al-Tarmizi dan al-Nasa'i dari Anas bin Malik)
Berikut ini pula saya petik dari kenyataan Syeikh Zainudin al-Malbari dari kitab Fathul Mu'in yang dinukilkannya dari gurunya syeikh Ibnu Hajar al-Haitami (terjemahan bebas):
"Wajib seseorang itu menyegerakan mengerjakan (qadhak) sembahyang tertinggal, jika ia dilakukan secara sengaja. Syeikh kami Ahmad Ibnu Hajar al-Haitami r.h. berkata bahawa yang apa yang nyata ialah dia wajib memalingkan semua waktunya untuk mengerjakan qadhak. Dikecualikan untuk waktu untuk mengerjakan sesuatu yang lain yang tidak dapat dielakkan. Sesungguhnya dia diharamkan mengerjakan sembahyang sunat."
Di atas, menurut fatwa Ibnu Hajar seseorang yang telah meninggalkan sembahyang secara sengaja, diwajibkan mengqadhaknya dengan segera. Tidak boleh tangguh-tangguh lagi. Segala waktunya hendaklah digunakan untuk melakukan qadhak, kecuali untuk hal-hal yang penting sahaja seperti tidur, makan, bekerja dan sebagainya. Selagi qadhaknya belum selesai, dia diharamkan mengerjakan sembahyang sunat. Dan memang benar, jika kita fikirkan, bukankah lebih baik (semestinya) sembahyang sunat yang kita mahu kerjakan itu digantikan dengan mengerjakan sembahyang qadhak. Walaubagaimanapun sembahyang sunat yang dikerjakan itu tetap sah.
Kita petik lagi kata-kata Syeikh al-Malbari:
"Sunat hukumnya menyegerakan qadhak bagi orang yang tertinggal kerana uzur, seperti tertidur (yang tidak sengaja terlajak, bukan sengaja terlajak) dan lupa. Jika tertinggal sembahyang dengan uzur, dia sunat mengerjakan qadhak itu secara tersusun menurut urutan waktu sembahyang. Sunat mengerjakan qadhak Subuh sebelum Zohor, begitulah seterusnya... Disunatkan juga mengerjakan qadhak sebelum mengerjakan sembahyang semasa. Itupun jika tidak dikhuatiri akan terlepas sembahyang semasa."
******intaha al-Malbari*******
Bagi orang yang tertinggal sembahyang fardu kerana uzur kerana tertidur atau terlupa, dia disunatkan menyegerakan qadhak. Sunat juga dia kerjakan qadhak secara tersusun. Contohnya dia tertinggal sembahyang subuh, asar dan isyak secara tidak sengaja. Ketika mengqadhak, dia sunat mengerjakan menurut urutan -> Kerjakan qadhak Subuh dahulu, kemudian Asar dan akhir sekali Isyak.
Sunat juga mendahulukan sembahyang qadhak (bagi yang tertinggal kerana uzur) dari sembahyang semasa. Contoh, sekarang adalah waktu Asar. Kita ada tertinggal sembahyang Subuh kerana tertidur. Sebelum mengerjakan sembahyang Asar, kita disunatkan mengerjakan dahulu sembahyang qadhak Subuh dahulu. Tetapi jika waktu Asar sudah nak habis, kalau mahu buat qadhak sudah tentu tak sempat, maka kerjakanlah dulu sembahyang Asar (sembahyang semasa).
Wallahu a'lam

Isu 17 : Bagaimana caranya isteri hendak tegur dalam solat? 2. Ukuran air dua kolah: Liter ?


1. Bagaimana caranya isteri hendak tegur dalam solat?
2. Ukuran air dua kolah: Liter ?


Soalan satu:

Apabila bersolat berjemaah dengan isteri di rumah, dan terlupa satu 
rukun, bagaimana caranya isteri hendak tegur dalam solat? 

Jawapan

Dari nukilkan dari kitab Mathla'in Nurain, karya al-Haj Zakaria bin al-Haj Ahmad Wan Besar, vol 1, hal. 110 - 111:
"(Faslun) perkara-perkara yang menyalahi lelaki dan perempuan di dalam sembahyang:
Bermula perkara-perkara yang menyalahi lelaki dan perempuan di dalam sembahyang adalah seperti berikut: Bagi orang lelaki:"
"....5. Mengenai atau ternampak sesuatu di dalam sembahyang hendaklah membaca Subhanallah. Samada sesuatu itu harus seperti orang minta izin masuk rumah, atau sunat seperti menegur imam yang lupa satu perkara...."
Seterusnya beliau berkata untuk perempuan pula:
".... 5. Jika mengenai atau berlaku sesuatu perkara di dalam sembahyang hendaklah ia tepuk tapak tangannya yang kanan atas belakang tapak tangannya yang kiri...."
Perkataan di atas bermaksud, perbezaan antara lelaki dan perempuan di dalam sembahyang. Antaranya ialah cara menegur imam yang terlupa dsb. Jika:
a. Lelaki: Mengucapkan Subhanallah
b. Perempuan: Menepuk tapak tangan kanan atas belakang tapak tangan kirinya.
Jika perempuan itu melakukan perkara itu sekalipun sedikit, kerana saja-saja nak main, batal sembahyangnya. Itupun kalau dia tahu tentang haramnya berbuat demikian.
Wallahu a'lam.
Rujukan:
Mathla'in Nurain, karya al-Haj Zakaria bin al-Ahj Ahmad Wan Besar, vol 1 (kitab jawi)


Soalan kedua:
 
 Boleh jelaskan tentang kedudukan air dalam bekas 2 kolah. Kalau 
ditukar kepada ukuran liter berapakah jumlah sebenarnya? 

Alhamdulillah inilah jawapannya: 
Air dua kolah bersamaan 216 liter atau 7.67 kaki padu. 
Wallahu a'lam. 


Isu 16 : Antara Solat Sunat Qabliyah & Tahiyatul Masjid


Antara Solat Sunat Qabliyah & Tahiyatul Masjid


 Soalan

Seorang datang ke masjid ketika azan subuh dikumandangkan, Apabila sampai dimasjid beliau hendak melaksanakan solat sunat tetai difikirkan tertanya-tanya kerana pada ketika itu beliau boleh melaksanakan 2 solat sunat iaitu sunat tahyatul masjid dan juga sunat subuh ( Qabliah) , Jika nak dibuat kedua-dua sekali solat tersebut masanya tak mengizinkan.
Persoalannya: Mana lebih afdhal antara ke dua solat tersebut.

Jawapan
(1)
Disunatkan mengerjakan sembahyang dua rakaat bagi orang yang memasukki masjid. Ia dinamakan dengan sembahyang Tahiyatul Masjid. Iaitu sembahyang menghormati masjid. Maksud menghormati di sini ialah mengagungkan tuan masjid itu (Allah Taala). Sabda nabi s.a.w.:
"Apabila salah seorang dari kamu masuk ke masjid, maka jangan duduk sehingga dia bersembahyang dua rakaat." (Riwayat al-jamaah dari Abi Qatadah, dan Ibnu Majah dari Abu Hurairah)
Masuk ke masjid tanpa melaksanakan sembahyang Tahiyatul Masjid adalah makruh. 
Kesunnahan melaksanakan solat Tahiyatul Masjid akan luput dengan duduk yang lama, atau duduk sekejap dalam keadaan dia tidak lupa dan tahu tentang kesunnahannya. 
(2)
Mengenai soalan saudara, saya nukilkan dari kitab jawi klasik Furu' Masa'il, karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani (vol.1 hal. 93). Saya terjemahkan secara umum:

Soalan : Adakah mendapat fadilat tahiyatul Masjid dengan mengerjakan sembahyang fardu atau sembahyang sunat qabliyah Subuh atau Zohor? Apakah ketika mengerjakan sembahyang fardu atau sunat qabliyah itu perlu diniatkan kedua-duanya - Niat sembahyang fardu/qabliyah dan niat sembahyang Tahiyatul Masjid? Ataupun tak perlu niat, hanya niat sembahyang fardu/qabliyah sahaja untuk mendapatkan fadilat Tahiyatul Masjid? 

Jawab: Untuk mendapatkan fadilat Tahiyatul Masjid, tidak perlu berniat tahiyatul masjid ketika mengerjakan sembahyang fardu/qabliyah. Inilah pendapat yang muktamad.
Begini, dalam kes yang saudara hadapi, saudara tidak perlu mengerjakan sembahyang Tahiyatul Masjid. Memadai dengan mengerjakan sembahyang qabliyah Subuh. Dengan mengerjakannya, saudara akan memperoleh fadilat Tahiyatul Masjid.
Dr Wahbah al-Zuhaili mengatakan:
"Mengerjakan sembahyang fardu atau lainnya (sembahyang sunat), dapat menggantikan sembahyang Tahiyatul Masjid. Dan, tak perlu niat Tahiyatul Masjid."
"Barangsiapa yang tidak dapat mengerjakan sembahyang Tahiyatul Masjid kerana hadas atau lain-lain sebab, dia disunatkan mengucapkan empat tasbih berikut: Subhanallah walhamdulillah wala ilaha illallah wallahu akbar."

Wallahu a'lam.

Rujukan
1. Mughni al-Muhtaj - vol 1, Muhamad al-Khatib al-Syarbini
2. Feqhul Islami Wa adillatuhu - vol 2, Dr. Wahbah al-Zuhaili 
3. Furu' Masa'il - vol 1, Syeikh Daud Abdullah al-Fathani
4. I'anah al-Thalibin - vol 1, Syed Muhamad Syatho al-Dimyathi.

Isu 15 : Apakah yang dimaksudkan dengan TAYAMUM

  Apakah yang dimaksudkan dengan TAYAMUM

Semua telah maklum bahawa berwudhu’ itu mestilah dengan air. Bagaimana pula kalau kita tidak punya air atau jika ada pun ia hanya mencukupi untuk kita minum. Dalam keadaan seperti ini, bagaimana harus kita lakukan untuk memenuhi syarat sah ibadat kita seperti solat, bertawaf dan bersa’ei?
        Dalam Surah Al Maidah : 6, Allah s.w.t. berfirman ;
 “… Dan jikalau engkau sakit atau dalam musafir atau telah datang engkau dari mem-buang air atau telah bersetubuh dengan wanita lalu engkau tidak menjumpai air, maka bertayam-mumlah engkau dengan tanah yang bersih. Maka sapulah mukamu dan tanganmu dengan tanah itu. Allah tidak mahu menyusahkan kamu semua tetapi Dia hendak menyucikan kamu dan menyempurnakan kurniaNya kepada kamu semua semoga kamu bersyukur.”
Jadi bertayamum itu ialah dengan debu tanah. Dan anggota yang wajib disapu dengan debu tanah itu hanyalah muka dan tangan hingga ke siku.
 
Syarat-syarat tayamum
  1. Ketiadaan air atau kesukaran untuk mendapat air
  2. Keuzuran kerana sakit. Seperti luka yang tidak boleh terkena air kerana kalau terkena air penyakit itu akan bertambah teruk.
  3. Ada air tetapi hanya mencukupi untuk diminum atau keperluan binatang yang di-hormati.
  4. Tayamum hendaklah dilakukan setelah masuk waktu sembahyang.
Rukun Tayamum
Rukun tayamum itu ada 4 dimulai dengan niat seperti berikut :
  1.  “Sahaja aku bertayamum bagi mengharuskan sembahyang kerana Allah Taala”
  2. Menyapu debu tanah ke muka. Mula-mula kita tekap kedua-dua belah tapak tangan kita pada debu tanah kemudian kibaskan sedikit supaya debu itu tidak terlalu tebal. Seterusnya sapukan ke bahagian muka dengan sekali sapu.
  3. Menyapu debu ke tangan dengan debu yang lain bukan debu yang telah disapu ke tangan tadi. Kita perlu bersihkan tapak tangan kita dari debu yang telah digunakan untuk menyapu muka tadi. Kemudian tekap sekali lagi ke debu yang masih tinggal dan sapulah bahagian tangan sekali sapu dimulai dengan tangan kanan dan seterusnya tangan kiri.
  4. Tertib
  •  Setiap tayammum hanya boleh digunakan untuk satu solat fardhu dan boleh untuk beberapa solat sunat. Maksudnya, setiap kali masuk waktu sembahyang tayamum kita perlu dilakukan semula.
Yang membatalkan tayamum
Perkara-perkara yang boleh membatalkan wudhu’ kita samalah seperti perkara-perkara yang membatalkan wudhu’ ditambah dengan 2 perkara lagi iaitu:-
  1. Murtad iaitu keluar dari Islam
  2. Dan kedapatan air setelah bertayamum tapi belum lagi melakukan solat. Dalam keadaan ini kita perlu mengambil wudhu’ untuk bersolat. Akan tetapi sekiranya sesudah solat baru kedapatan air maka solat tadi tidak perlu diulangi lagi.
Seperti yang termaktub di dalam Surah Al Maidah tadi, tayamum juga boleh digunakan sebagai ganti air untuk mandi setelah berlaku ke atas kita perkara-perkara yang mewajibkan kita mandi seperti keluar haid, nifas, air mani, bersetubuh dengan isteri dan lain-lain lagi. Dalam keadaan ini bukanlah kita perlu mandi debu. Tidak! Hanya yang diperlukan ialah kita lakukan seperti mana kita lakukan tayamum untuk bersolat tadi iaitu menyapu debu tanah yang bersih ke muka dan dua belah tangan.

Isu 14 : Niat Wudhuk dalam Bahasa Malaysia


Niat Wudhuk dalam Bahasa Malaysia

Soalan:
Bolehkah kita mengambil wuduk dengan membaca dalam Bahasa Malaysia?

Jawapan:
    Tidak menjadi kesalahan mengambil wuduk dengan membaca niat umpamanya dalam bahasa Malaysia tidak di dalam bahasa Arab. Bagaimanapun membaca doa-doa yang berkaitan dengannya adalah elok di dalam bahasa Arab dan hendaklah difahami maknanya supaya kesannya dapat meresap ke dalam diri individu terlibat.

Isu 13 : Hukum Mengerat Kuku Ketika Berhadas Besar


Mengerat Kuku Ketika Berhadas Besar

Soalan:
Apakah kita dibolehkan mengerat kuku atau rambut semasa dalam keadaan berhadas besar (janabah/haid)?

Jawapan:
    Menurut jumhur ulamak mengerat kuku dan memotong rambut ketika seseorang wanita sedang mengalami haid adalah diharuskan dan tidak dilarang, kerana tidak didapati dalil dari Al-Quran mahupun dari Al-Hadis yang melarang berbuat demikian. Demikian yang disebut di dalam kitab Al-Fiqh Al-Wadih. Bagaimanapun menyimpannya lalu dibawa bersama ketika mandi junub adalah lebih baik.
    Al-Imam Al-Ghazali dari kalangan fuqahak Asy-Syafi'i menghukumkan makruh memotong kuku dan mengerat rambut ketika sesesorang perempuan itu sedang didatangi haid, atas alasan anggota yang dibuang itu akan disoal oleh Allah SWT pada hari Kiamat nanti. kerana itu amat wajar sekiranya ia kembali kepada Allah dalam keadaan bersih.


Isu 12. Keringanan Mewarnai Kuku Bagi Wanita Haid


Keringanan Mewarnai Kuku Bagi Wanita Haid


Pacar (mewarnai kuku dengan daun inay) merupakan salah satu bentuk perhiasan yang dapat menambah kecantikan wanita. Banyak wanita yang memakai pacar pada kukunya dengan daun inay (pacar), karena hal itu dapat menarik kecintaan suami. Wanita yang sedang haid diberikan keringanan untuk memakai pacar, sebagaimana yang disebutkan dalam hadits berikut ini :
"Dari Mu'adzah : Ada seorang wanita bertanya kepada Aisyah radhiyallahu 'anha : "Apakah wanita yang sedang haid boleh memakai pacar?"
Aisyah menjawab : Pada saat sedang di sisi nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam kami memakai pacar pada kuku, dan beliau tidak melarang kami melakukan hal itu"
. (Diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majah (656) dengan sanad shahih)
Dari Nafi' Maula bin Umar, dia menceritakan :
"Bahwa istri-istri Ibnu Umar semuanya memakai pacar pada kuku mereka pada saat sedang haid". (Diriwayatkan oleh Imam Al-Darimi (1094) dengan sanad shahih)
Mengenai hal ini penulis katakan, apabila pemakaian pacar itu terlalu tebal sehingga air wudhu' tidak dapat menyentuh kulit pada saat sedang dalam keadaan suci, ketika itu seorang wanita harus menghapus dan menghilangkannya. Demikian itulah keringanan yang diberikan kepada seorang wanita yang sedang haid karena pada saat itu dia tidak berwudlu'.
Disamping pacar itu dari inay, seorang wanita juga diperbolehkan mengecat kukunya (kutek) pada saat sedang haid, karena dia tidak harus berwudlu' dan mengerjakan sholat. Tetapi pada saat dalam keadaan suci, dia harus menghilangkannya.
Dari Ibnu Abbas radhiyallahu 'anhu, dia menceritakan :
"Istri-istri kami memakai pacar pada malam hari, apabila pagi tiba mereka melepasnya, kemudian berwudlu dan mengerjakan shalat. Setelah shalat mereka memakai pacar lagi dan apabila tiba waktu dzuhur mereka melepasnya, lalu berwudlu' dan mengerjakan shalat . Hal itu dilakukannya dengan sebaik-baiknya dan tidak menghalangi mereka dari shalat". (Diriwayatkan oleh Imam Al-Darimi (1093) dengan sanad shahih)
Tetapi ada dua hal yang diperhatikan :
Pertama : Pemakaian pacar -termasuk juga kutek- merupan salah satu perhiasan yang tidak boleh diperlihatkan kepada laki-laki yang bukan muhrim. Oleh karena itu, wanita yang memakainya harus menyembunyikan dari pandangan laki-laki yang bukan muhrim.
Kedua : Pengecatan kuku (kutek) adalah salah satu kebiasaan orang barat yang dilancarkan ke tengah-tengah masyarakat kita. Dan melakukannya merupakan tindakan menyerupai wanita-wanita kafir tersebut, dan inilah yang dilarang.
Disalin dari buku 30 Keringanan Bagi Wanita, oleh Amr Bin Abdul Mun'in terbitan Pustaka Azzam

Isu 11. Jenis Debu / Tanah Untuk Tayamum


Jenis Debu / Tanah Untuk Tayamum

Soalan:

Dalam situasi krisis air yang melanda di tempat saya ketika ini, kemungkinan bertayamum terpaksa dilaksanakan demi untuk melakukan solat. Namun kemusykilan saya adalah dari segi debu yang bagaimanakah harus saya gunakan memandangkan persekitaran tempat kediaman saya yang tidak bersih?


Jawapan:

    Allah jadikan permukaan bumi ini bagi umat Nabi Muhammad suatu rahmat yang boleh digunakan untuk membersihkan diri dari hadas dan najis. Rasulullah SAW bersabda: Dari Jabir bin Abdullah bahawa Nabi SAW bersabda:
"Aku diberi lima perkara yang tidak diberikan kepada seseorangpun sebelumku. Aku diberi kemenangan terhadap musuh sejauh perjalanan sebulan, dan dijadikan bumi ini sebagai dan alat bersuci bagiku, maka siapa saja bertemu waktu solat hendaklah ia solat di tempat itu..." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

    Menurut Sayid Sabiq; boleh tayamum dengan tanah yang suci begitupun dengan segala yang sejenis tanah seperti pasir, batu, batu bata, berdasarkan firman Allah SWT: "Hendaklah kamu bertayamum dengan sha'id yang baik". Sedang ahli-ahli bahasa telah sepakat bahawa yang dimaksudkan dengan sha'id itu ialah permukaan bumi, baik ia berupa tanah mahupun lainnya.
(Sila rujuk Bulughul Maram oleh Al Hafidz Bin Hajar Al Asqalani dan Fikih Sunnah Sayid Sabiq, bab tayamum)



Isu 10. Bagaimana cara menyucikan najis.



 
Cara menyucikan najis

Najis adalah kotoran yang menghalang sah sembahyang apabila melekat pada badan pakaian atau tempat sembahyang.
Najis terbahagi kepada tiga
  1. Najis Mughallazah - najis berat
  2. Najis Mukhaffafah - najis ringan
  3. Najis Mutawasitah - najis pertengahan
1. Najis Mughallazah
Najis Mughallazah ialah anjing dan babi dan keturunan kedua jenis haiwan itu beserta najis yang lain Cara menyucikan
Membasuh enam kali dengan air mutlak dan sekali dengan air tanah.
 
2. Najis Mukhaffafah
Najis Mukhaffafah ialah air kencing bayi yang tiak makan selain dari susu ibu.
Cara menyucikan
        Jika bayi lelaki, percikkan air ke tempat yang terkena kencing
        Jika bayi perempuan, hendaklah dibasuh
 
3. Najis Mutawasitah
Najis Mutawasitah ialah najis yang lain dari kedua-dua jenis najis di atas. Najis Mutawasitah terbahagi kepada dua, ainiyyah (najis yang nampak) dan hukmiyyah (najis yang tidak nampak)
Cara menyucikan
        Najis ainiyyah - membasuh sehingga hilang sifat-sifat najis itu.
        Najis hukmiyyah - contohnya air kencing dewasa yang telah kering ialah dengan melalukan air ke atas najis itu.
Contoh najis Mutawasitah ialah :
  1. Air kencing orang dewasa.
  2. Semua jenis tahi
  3. Darah yang sifatnya mengalir, walaupun ia telah beku selepas itu. Sekiranya darah itu tidak engalir, maka tidak najis ketika cair dan beku.
  4. Nanah.
  5. Muntah, ialah makanan yang keluar dari perut (maidah).
  6. Mazi, air putih atau kuning yang encer, yang biasanya keluar ketika berahi.
  7. Madi, air putih yang agak keruh yang agak kental sedikit, yang biasanya keluar dari kemaluan sesudah membuang air kecil, atau tatkala membawa seseuatu yang berat. Air mani tidak najis hukumnya.
  8. Mayat selain mayat manusia, ikan dan belalang contohnya.
  9. Arak atau minuman yang memabukkan.
  10. Air luka, dinamakan juga darah putih.
  11. Susu haiwan yang tidak dimakan dagingnya.
  12. Daging binatang yang dipotong selagi masih hidup.
   

Isu 9. Bersih dari Haid dan nifas


Bersih dari Haid dan nifas


Soalan:

Bagaimanakah seseorang itu dikatakan bersih daripada haid/nifas? Sekiranya haid berlarutan sehingga lebih dari 7 hari adakah ianya masih belum bersih?

Jawapan:

    Dalam istilah ilmu fiqih masa lamanya wanita mengeluarkan darah haid ada terbahagi tiga.
1. Masa  "Akulul haid" masa yang paling sedikit iaitu 24 jam.
2. Masa  "Aksyarul haid" masa yang paling panjang iaitu 15 hari 15 malam.
3. Masa  "Ghalibul haid" masa kebanyakan wanita mengalaminya iaitu 6 atau 7 hari 7 malam.
Jika ada wanita mengeluarkan darah selama 15 hari/malam tetapi tidak terus menerus dan jika dikumpulkan semua tidak ada 24 jam, maka darah itu bukan dikatakan darah haid melainkan darah istihadah.

Isu 8. Air mazi: Apakah najis dan mewajibkan mandi?


Air mazi: Apakah najis dan mewajibkan mandi?
Adakah tidak sah solat jika terdapat air mazi di pakaian?dan adakah perlu mangangkat air hadas besar untuk bersuci jika air mazi keluar?


 Jawab


Air mazi adalah najis, dan ia tidak menyebabkan mandi wajib. Hukum ini berdasarkan hadis:
Dari Ali r.a., katanya: Aku seorang lelaki yang kuat keluar air mazi, aku malu untuk bertanya kepada Rasulullah s.a.w. Lalu aku menyuruh al-Miqdad bi al-Aswad menanyakannya kepada Rasulullah s.a.w. Dia bertanya dan baginda s.a.w. menjawab: "Diwajibkan berwuduk. Seorang Islam hendaklah membasuh zakarnya dan hendaklah berwuduk." (HR syaikhani)

Masalah:
Adakah tidak sah solat jika terdapat air mazi di pakaian?
Jawab:
Tidak sah kerana air mazi adalah najis. Tempat yang terkena air mazi hendaklah dibasuh dengan air mutlak terlebih dahulu.
Masalah:
Adakah perlu mangangkat air hadas besar untuk bersuci jika air mazi keluar?
Jawab:
Tidak perlu, kerana keluar air mazi bukan daripada perkara yang mewajibkan mandi.
Sekian. Wallahu a'lam.


Rujukan:
Al-Feqhul Islami Wa Adillahtuh.

Isu 7. Harus Bersalam Dengan Wanita Tetapi dengan Syarat ??


Fatwa terkini Prof Qardhawi (Fatawa Mu'asirat): dalam bab bersalaman dengan wanita:

1.Harus berjabat tangan ketika tidak disertai dengan syahwah, rasa kenikmatan atau rasa teransang. Ia juga mesti aman daripada fitnah. Jika disertai dengan syahwah dan teransang gelora seks, maka haram hukumnya walaupun dengan mahram (ipar duai, mertua, anak saudara dan lain-lain atau lelaki remaja yang belum tumbuh janggut)

2.Berjabat tangan hendaklah pada tempat yang perlu sahaja, contohnya: suasana hari raya, ramai sahabat handai, saudara mara yang datang yang kebanyakannya adalah saudaramara samaada melalui nasab atau perkahwinan.

3. Ia pada kadar yang tidak keterlaluan dan berlebihan sebagai langkah berjaga-jaga kerana RasuluLlah saw tidak pernah berjabat salam dengan wanita bukan mahram.

4.Lelaki beriman yang menjaga agamanya seharusnya tidak memulakan salam (kepada wanita). Ia bersalaman bila pihak wanita yang memulakan dahulu.

5.Hukum bersalaman dengan wanita ini terhad dan khusus bagi siapa yang memerlukan sahaja.

Perbahasan dalam bab ini sungguh panjang, maka  Qardhawi telah merumuskan untuk kita.

Rujukan lanjut: alQardhawi, Prof.; Fatawa Mu'asirat (Fatwa-fatwa Semasa).bab wanita dan
kekeluargaan

Isu 6. Apakah hukumya berbual-bual antara lelaki dan perempuan yang bukan Mahram di telefon


Apakah hukumya berbual-bual antara lelaki dan perempuan yang bukan Mahram di telefon.?

Islam mengharamkan  tiap-tiap perkara yang membawa kepada Fitnah .Islam melarang golongan wanita menhhentakkan kaki ke bumi memperdengarkan suara gelang kakinya kerana itu akan menimbulkan nafsu syahwah kepada sesetengah lelaki
.
FIRMAN ALLAH YANG BERMAKSUD,
"DAN JANGANLAH MEREKA MENGHENTAKKAN KAKI UNTUK DIKETAHUI AKAN APA YG TERSEMBUNYI DARI PERHIASAN MEREKA" Surah An Nur :31

Ayat inilah yang menjadi dalil mazhab hanafi mengatakan suara perempuan adalah AURAT kerana memperdengarkan suara gelanga kaki pun dilarang, Inikan suara perempuan itu sendiri, Maka sangatlah  MUBALAGHOH DAN LEBIH-LEBIH LAGILAH DILARANG.

Mengikut Pendapat MAzhab Syafie dan sebagai mewakili bag Jumhur Ulam' Feqah, Mneyatakan Bahawa surara perempuan bukanlah aurat kerana perempuan diharuskan berniaga dan diterima saksi di hadapan khadi yang mana kesemuanya itu tidak dapat dikehendaki dengan mengangkat suaranya.

. DR. YUSUF QARDHAWI dalam kitabnya `FATAWA MUASOROH` ada menyebut banyak dalil mengapa suara perempuan bukanlah aurat, Contohnya :

"DAN APABILA KAMU MEMINTA SESUATU YANG HARUS DI MINTA DARI ISTERI-ISTERI NABI, MAKA MINTALAH DARI SEBALIK TABIR"surah al ahzab:35

Bertanya  menuntu kepada jawapan. Ini adalah kelakuan  UMMAHATUL MUKMININ R.A ketika mana mereka mengeluarkan fatwa kepada yang bertaqwa kepada yang bertanya dari kalangan lelaki dan meriwayatkan hadis daripada mereka. Kalau suara perempuan merupakan Aurat bagaimana mereka mahu berfatwa ?

Seterusnya sering diajukan kepada Rasullullah soalan-soalan dari kalangan wanita yang ketika itu berada dihadapan kaum lelaki pada hal Rasullulla akur dan tidak menegur mereka sebagaimana banyak cerita yang terdapat dalam hadis-hadis sohih...

Berkata Imam Alusi di dalam Tafsirnya `RUHUL MAANI`JUZUK KELAPAN MUKASURAT 146
Bahawa suara perempuan bukanlah aurat dan tidak haram mendengarkan selama mana tidak menimbulkan Fitnah dan Syahwat maka hukumnya adalah HARAM mutlak.

WALLAHU A`LAM

Isu 5. Batas Aurat Wanita


Batas Aurat Wanita

Soalan:

Bolehkah ustaz terangkan kepada saya beberapa perkara seperti berikut:
1. Aurat saya terhadap suami kepada emak saudara saya.
2. Aurat saya terhadap bapa saudara sebelah suami saya.
3. Bolehkah saya menyambut salam mereka(yang disebut di atas) dengan tujuan sebagai memberi penghormatan. Untuk pengetahuan ustaz mereka sudah berusia dan telah terlebih dahulu menghulurkan salam kepada saya. Dan adakah batal air sembahyang saya?


Jawapan:

    Untuk menjawab batas aurat seorang wanita ini maka cukuplah kami utarakan maksud surah An Nuur ayat 31, kerana didalamnya telah ditetapkan oleh Allah SWT. Firman-Nya yang bermaksud:
"Katakanlah kepada wanita yang beriman "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada:


  1. suami mereka, 
  2. ayah mereka, 
  3. ayah suami mereka, 
  4. putera-putera mereka, 
  5. putera-putera suami mereka, 
  6. saudara-saudara lelaki mereka 
  7. putera-putera saudara lelaki mereka, 
  8. putera-putera saudara perempuan mereka, 
  9. wanita-wanita Islam, 
  10. hamba-hamba yang mereka miliki, 
  11. pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan terhadap wanita, 
  12. anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita,


Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung".





Isu 4. Perbandingan Empat Mazhab Berhubung Wanita Merdeka Nisbah Pada Lelaki Ajnabi


Perbandingan Empat Mazhab Berhubung Wanita Merdeka Nisbah Pada Lelaki Ajnabi


 Mazhab Aurat Perempuan Merdeka Nisbah Pada Pandangan Lelaki Ajnabi :

MALIKIYY  Semua badannya, kecuali muka dan dua tapak tangan. Mubah (harus) didedahkan muka dan dua tapak tangannya di jalan dan di hadapan lelaki ajnabi,tetapi sengan syarat aman daripada fitnah. Jika ditakuti fitnah, maka wajib ditutup.


HAMBALIYY  Ada dua qawl:
1.  Semua badannya kecuali muka dan dua tapak tangan. Muka dan dua tapak tangannya halal dilihat lelaki ajnabi, jika aman daripada fitnah. Tetapi wajib ditutup sekiranya ditakuti mendatangkan fitnah.

2.  Semua badannya, tanpa kecuali. Ini berdasarkan kepada satu riwayat daripada Iman Ahmad dan inilah qawl yang paling sahih.



SHAFI'IYY  Ada dua qawl berdasarkan dua riwayat daripada Iman Shafi'iyy:
1.  Semua badan, tampa kecuali. Inilah qawl yang paling sahih atau paling nyata atau mu'tamad, sebagaimana diterangkan oleh Ibnu Hajar al-Haytamiyy di dalam az-Zawajir dan al-Baydawiyy di dalam Tafsirnya dan juga para Ulama' Shafi'iyyah.

2.  Semua badan, melainkan muka dan dua tapak tangan. Mubah didedahkan muka dan dua tapak tangan di hadapan lelaki ajnabi dengan syarat aman daripada fitnah. Wajib tutup muka dan dua tapak tangan itu bukan kerana ianya aurat, tetapi kerana menutup pintu fitnah dan fasad.


HANAFIYY  Ada dua qawl, derdasarkan dua riwayat daripada Iman Abu
Hanifah:
1.  Semua badan kecuali muka dan dua tapak tangan. Mubah di dedahkan muka dan dua tapak tangan di jalan dan di depan lelaki ajnabi dengan syarat aman dari fitnah. Jika ditakuti mendatangkan fitnah atau membawa kepada fasad, maka wajib ditutup.

2.  Semua badannya, kecuali muka, dua tapak tangan dan dua qadam (iaitu tapak kaki) dan pergelangannya.

Isu 3. Bagaimana Ijma' ulamak berlaku?


Bagaimana Ijma' ulamak berlaku?


 Soalan:

Berkenaan dengan Ijma' Ulamak.

1. Adakah ianya berlaku.Kalau berlaku, bagaimana bentuknya?  Maksud saya, dengan keadaan dahulu yang susah untuk berhubung dengan
 satu sama lain,

2. bagaimana mereka boleh berkumpul, adakah semua ulama' atau hanya 2 atau 3 orang sahaja dan adakah ini boleh dikatakan 'ijma ulamak.


Jawab
1. Konsep Ijma' Fuqaha'/Ulamak

Ijma' maksudnya ialah konsensus (dipersetujui sebulat suara). Misalnya konsensus dalam Parlimen dan enakmen itu diluluskan sebulatsuara ahli Dewan rakyat.
Ijma' Ulama' bermaksud konsensus kesemua para mujtahid yang hidup pada satu angkatan. Sekurang-kurangnya ia memerlukan minima dua orang mujtahid (ulamak pakar) pada satu-satu zaman. Misalnya:
1. Ijma' ahlil Madinah (konsensus kesemua penduduk Medina)
2. Ijma' Khulafa' arrasyidin (konsensus 4 orang:  Abu Bakar, Umar , Uthman dan Ali, kesemuanya RA)
3. Ijma' sahabat (kesemua sahabat baginda yakni konsensus)
Mujtahid ialah pakar (sekarang ialah tarafnya Professor kelulusan phD) dan kepakaran, kewibawaan, keilmuan dan kesarjanaannya diperakui oleh ummah seluruhnya. Untuk satu-satu period, mungkin tidak ramai bilangannya. Mereka ini termasuk dalam kelas mujtahid mutlak.


2. Bagaimana ijma' boleh berlaku zaman dahulu?
Ijma' berlaku di zaman silam bila soalan atau permasalahan yang sama diajukan kepada mujtahid tersebut dan jika jawapan-jawapan mereka di dapati sama, maka itulah ijma'; misalnya persoalan zaman dulu, tentang wajibkan zakat yang tidak cukup nisab? Maka orang ramai membandingkan jawapan mujtahid di Iraq, seorang lagi di Syam, seorang lagi di Mesir, seorang lagi di Hijaz. Jika empat mujtahid ini dianggap kepala ulamak untuk zaman itu memberi jawapan yang sama, maka itulah ijma' ulama'.


3. Bagaimana ijma' masih boleh berlaku zaman kita?
Ini menjadi lebih mudah kerana sentiasa dianjurkan persidangan feqah sedunia dan dihadiri oleh mujtahid terkemuka dan dibahaskan. Atau pada masa akan datang secara video-conferencing, maka lebih mudah lagilah. Misalnya ijtima' ulamak di Jeddah pada tahun 80'an memutuskan ijma' ulamak mengharuskan derma darah. Juga ijma' ulamak ke atas haramnya dadah.


Rujukan:
1. Abd Wahab Khalaf, Usyul Fiqh
2. Prof Syaikh Ali Hasan Ahmad adDary, al Fawaid al Miham
3. Imam Jalaludin asSyuyuti, al Asybah wanNaza-ir

Tuesday, 28 August 2012

Isu 2. Cuba-cubalah tinggalkan solat jemaah!!!

Isu 1. Solat tahajjud: Apakah perlu tidur dahulu?

 Solat tahajjud: Apakah perlu tidur dahulu?


Assalamualaikum w.r.t Ustaz,

Saya mempunyai kemusykilan dalam perkara solat tahajjud. Ada sesetengah buku mengatakan bahawa solat tahajjud hanya boleh dibuat setelah tidur selepas solat isyak (samada lama atatu sekejap) , jika tak tidur tidak digolongkan di dalam golongan solat tahajud manakala ada sesetengah pendapat dalam buku lain pula mengatakan s

elepas solat Isyak boleh diteruskan solat tahajjud.
Boleh tak ustaz mengulas perkara ini dan kalau tidak menjadi keberatan, bolehkah ustaz memberi penjelasan cara solat tahajjud rasullulah s.a.w serta para sahabat atau ulama/imam yang terkenal dan kelebihan2nya?

terima kasih saya ucapkan terlebih dahulu

wassalam.
--------------------------
aizan@teras.com.my

Jawapan

(1)
Firman Allah Taala:
"Hendaklah engkau gunakan sebahagian waktu malam itu untuk sembahyang tahajjud, sebagai sembahyang sunat untuk dirimu, mudah-mudahan Tuhan akan membangkitkan engkau dengan kedudukkan yang baik." (al-Isra':97)

Sabda Rasulullah s.a.w.:
"sebaik-baik sembahyang selepas sembahyang fardu ialah sembahyang sunat malam." (riwayat Muslim)


Terlalu banyak fadilat dan kelebihan sembahyang tahajud. Ini kerana tahajud merupakan suatu amalan yang sukar dilakukan. Walaupun bilangan rakaatnya (paling kurang) hany dua sahaja tetapi tidak semua orang mampu melakukan. Apatah lagi waktunya adalah pada waktu malam dan selepas tidur. oleh itu Allah dan RasulNya menjanjikan ganjaran yang besar terhadap mereka yang sanggup melepaskan selimutnya semata-mata untuk mengerjakan tahajjud.

(2)
Definasi tahajjud: Sembahyang sunat pada waktu malam selepas tidur (Rujuk definasi ini pada kitab-kitab mazhab Syafi'i)

Hukum tahajjud: para ulamak telah ijmak mengatakannya sebagai sunat. Dan ia pernah diwajibkan pada permulaan Islam. Bagi orang-orang yang telah biasa melakukan tahajjud, makruh hukumnya meninggalkan tahajjud.

Waktu mengerjakan tahajjud: Selepas Isyak & selepas tidur. Dan, yang paling afdal ialah mentakhirkan sembahyang ini.

Menurut Imam al-Nawawi di dalam Minhaaj al-Thalibin, makruh mengerjakan sembahyang tahajud seluruh malam secara berterusan (Berjaga setiap malam mengerjakan tahajud). Syeikh Muhamad al-Khatib al-Syarbini menjelaskan perkataan al-Nawawi dengan katanya: "Makruh mengerjakan tahajud pada waktu malam yang dapat memudaratkan. Dari itu berjaga utk bertahajud seluruh malam setiap hari tergolong dalam kategori ini. Alasannya ialah, sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Bukhari & Muslim:
Rasulullah s.a.w. bertanya kepada Abdullah bin Amru bin al-Ash: Tidakkah aku diberitahu bahawa engkau berpuasa disiang hari dan berdiri (solat) diwaktu malam? Abdullah menjawab: Bahkan wahai Rasulullah. Baginda s.a.w. bersabda: Jangan lakukan. Berpuasalah dan berbukalah. Berdirilah (malam & bersolat) dan tidurlah. Sesungguhnya jasadmu juga mempunyai haknya.....al-hadis."

Al-Khatib al-Syarbini menyambung lagi: "Kerana berjaga malam secara berterusan dapat memudaratkan tubuh badan. Ia juga menyebabkan seseorang itu tidak dapat berjaga pada waktu siang. Ini akan membuatkan maslahat dunia dan agamanya pada waktu siang terlepas." (Al-Mughni al-Muhtaj, vol 1, halaman 228)

Dimakruhkan juga mengkhususkan malam Jumaat untuk mengerjakan Tahajud. Maksudnya, kita mengkhususkan sembahyang tahajjud hanya pada malam Jumaat sahaja.

Orang yang hendak bertahajud disunatkan ber'qailulah'. Iaitu tidur sedikit sebelum tergelincir matahari. Qailulah samalah seperti sahur untuk orang yang berpuasa. Sabda Rasulullah s.a.w:
"Mintalah pertolongan dari qailulah untuk berdiri (solat) pada waktu malam."
Maknanya, qailulah dapat membantu untuk tahajud.

Bilangan rakaat tahajud: Sekurang-kurangnya dua rakaat dan sebanyak-banyaknya tiada had. Tetapi ada pendapat lain yang mengatakan, sebanyak-banyaknya 12 rakaat (rujuk Fathul Mu'in, bihamish I'anah al-Thalibin, vol 1, hal. 269)

(3)
Masalah saudara, tahajud: perlu tidur dahulu atau tidak?
Sebagaimana penjelasan di atas, bahawa definasi tahajud sahaja sudah menggambarkan ia hendaklah dikerjakan selepas tidur.

Jika begitu sudah tentu akan timbul satu persoalan lain--> Jika saya tidak tidur (kerana sebab-sebab tertentu), bermakna saya tidak dapat melaksanakan tahajud. Akan terlepaslah saya dari memperolehi fadilat tahujud yang besar itu...

Penyelesaiannya begini --> Terdapat beberapa solat yang dikategorikan di dalam 'sembahyang malam'. Iaitu sembahyang witir, sembahyang tahajud dan sembahyang sunat mutlak waktu malam.

Sembahyang sunat mutlak waktu malam: Sembahyang sunat mutlak ialah sembahyang yang dikerjakan tanpa sempena apa-apa. Niatnya, "sahaja aku mengerjakan sembahyang sunat mutlak 2 rakaat kerana Allah Taala."

Sembahyang ini juga tidak kurang besar fadilatnya. Saya nukilkan lagi secara bebas tentang kelebihan dari kitab Sabilul Muhtadin, vol 2, hal. 19, 20 & 21:

Sembahyang sunat mutlak pada waktu malam lebih afdal dari sunat mutlak waktu siang.

Sabda Rasulullah s.a.w. :
"Sembahyang yang paling afdhal selepas sembahyang fardu ialah sembahyang (sunat) malam."

Sabdanya lagi:
"Sesungguhnya pada waktu malam ada satu saat di mana tidak dapat oleh seorang lelaki Islam yang memohon kepada Allah akan kebaikan utk urusan dunia dan akhiratnya, melainkan akan diperkenankannya. Saat itu ada pada setiap malam."

Maksudnya, setiap malam ada saat yang dinamakan saat ijabah. Setiap doa yang dipohon pada saat itu akan diperkenankan.

Rasulullah s.a.w. pernah ditanya oleh para sahabat mengenai sembahyang yang paling afdal selepas sembahyang fardu, baginda menjawab:
"Sembahyang pada tengah malam."

Sabda Rasulullah s.a.w. lagi:
"Sembahyang yang paling Allah Taal paling suka ialah sembahyang Nabi Allah Daud a.s., dia tidur pada separuh malam, dia bersembahyang pada sepertiga malam dan tidur pada seperenamnya."

Sabdanya lagi:
Perintah Tuhan turun ke langit dunia pada sepertiga pada waktu tinggal sepertiga yang akhir pada waktu malam, lalu berseru: Adakah orang yang memohon , pasti Aku kabulkan, adakah orang yang meminta pasti Aku akan beri dan adakah yang memohon ampun, pasti Aku akan ampuni baginya sehingga Subuh.

Inilah antara fadilat-fadilat sembahyang malam. Fadilat ini boleh digunakan untuk fadilat tahajud.

(4)
Cara-cara mengerjakan sembahyang tahajud dan sunat mutlak malam.

Niat: Aku sembahyang sunat tahajud dua rakaat kerana Allah Taala.

Kerjakan sembahyang sebagaimana sembahyang sunat lainnya. Dan untuk sembahyang malam ini, disunatkan memperpanjangkan berdiri dari memperbanyakkan sujud, sabda nabi s.a.w,:
"Sebaik-baik sembahyang ialah yang memperpanjangkan berdirinya."

Memperpanjangkan berdiri ialah memperbanyakkan membaca al-Quran. Memperbanyak sujud ialah dengan memperbanyakkan tasbih. Membaca al-Quran lebih baik dari bertasbih.

Selepas mengerjakan sembahyang, hendaklah membaca doa di bawah ini, sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Bukhari:

Ya Allah, bagiMu segala puji. Engkaulah penegak langit, bumi dan alam semesta serta segala isinya. BagiMulah segala puji. Pemancar cahaya langit dan bumi. bagimulah segala puji. Engkaulah yang haq, janjiMu adalah benar, pertemuanMu adalah benar, firmanMu adalah benar, syurgaMu adalah benar, nerakaMu adalah benar, Nabi-nabi adalah benar, Muhamad s.a.w. adalah benar dan kiamat adalah benar. Ya Allah kepadaMulah aku berserah diri, kepada Engkaulah kami kembali, kepada Engkaulah kami merindu, kepada Engkaulah kami berhukum. Ampunilah kami atas kesalahan yang telah kami lakukan dan yang sebelumnya, baik yang kami sembunyikan atau yang kami nyatakan. Engkaulah Tuhan yang terdahulu dan Tuhan yang terakhir. Tiada Tuhan melainkan Engkau Allah Rabbul Alamin. Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan Allah.

Selepas berdoa, perbanyakkanlah mengucap istighfar, antara istighfar yang dianjurkan serta sabit dengan hadis yang sahih ialah Saiyidul Istighfar (Penghulu Istighfar):

Ya Allah, Engkaulah Tuhan kami, tiada Tuhan melainkan Engkau, yang menjadikan kami, dan kami adalah hambaMu, dan kamipun dalam ketentuanMu serta janjiMu sedapat yang kami lakukan. Kami memohon perlindunganMu daripada kejahatan apa yang kami lakukan, kami mengakui kenikmatan yang telah Engkau limpahkan kepada kami dan kami juga mengakui akan dosa kami, keran itu berikanlah keampunan kepada kami, sesungguhnya tidak ada yang memberi pengampunan kecuali Engkau.


Sembahyang sunat mutlak, eloklah dilakukan dua rakaat, dua rakaat.. sehingga berapa banyak yang disukai. Selepas itu bolehlah membaca doa dan istighfar di atas.

Wallahu a'lam.

Rujukan:
1. Fathul Wahab - Syeikhul Islam Zakaria al-Ansori, vol 1
2. Minhaj al-Thalibin - Imam al-Nawawi
3. Mughnil Muhtaj - Syeikh Muhamad alKhatib al-Syarbini, vol 1
4. Al-Feqhul Islami Wa adillatuh - Dr Wahbah al-Zuhaili, vol 2 *
5. Sabilul Muhtadin - Syeikh Muhamad Arshad al-Banjari vol 2**
6. I'anah al-Thalibin - Syeikh Muhamad Satha al-Dimyathi vol 1
7. Fathul Mu'in - Syeikh Zainudin al-Malbari*
* Ada terjemahan
** Kitab jawi klasik