Sunday, 2 September 2012

Isu 26 : Hukum Memenggang Mushaf ketika Ketiadaan Wudhu'


Dr. 'Umar bin Muhammad al-Sabil, dari University Umm al-Qura, di dalam tulisannya (حكم الطهارة لمس القرآن الكريم) mendakwa ijmak ulama tidak boleh memegang al-Quran bagi orang yang berhadath besar. Melainkan Daud al-Zahiri dan pengikut-pengikutnya dari ahli Zahir.

- Para ulama berbeza pendapat bagi orang yang berhadath kecil.

1- Tidak boleh :

Inilah pendapat para sahabat seperti Ali bin Abi Talib, Abdullah bin Mas'ud, Said bin Abi Waqqas, Ibn Umar, Said bin Zaid, Sulaiman al-Farisi dan selain mereka.

Di kalangan para Tabi'in pula seperti 'Ato' bin Abi Robah, Ibn Syihab al-Zuhri, al-Hasan al-Basri, Towus bin Kaisan, Salim bin Abdullah bin umar, al-Nakhaie'dan para Fuqaha' yang Tujuh. Inilah juga pendapat mazhab yang empat.

Dalil Ulama Yang Tidak Membenarkan.

1- Ayat al-Quran surah al-Waqi'ah : 77-80

إنه لقرآن كريم في كتاب مكنون لا يمسه إلا المطهرون تنزيل من رب العالمين

Maksudnya : Bahawa sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu) itu ialah Al-Quran yang mulia, Yang tersimpan dalam Kitab yang cukup terpelihara. Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang suci. yang diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam.

2- al-Sunnah

- لا تمس القرآن إلا وأنت طاهر

Maksudnya : "Jangan kamu menyentuh al-Quran melainkan kamu suci." (Disahihkan oleh al-Hakim dan disepakati oleh al-Zahabi)

- لا يمس القرآن إلا طاهر

Maksudnya : "Tidak menyentuh al-Quran melainkan orang yang suci." (Darulqutni di dalam Sunannya. Di dalam Majma' al-Zawa-id disebut rijal hadith ini Mauthuq.)

3- al-Ijma'

- Ijmak di kalangan para sahabat tidak bolehnya memegang al-Quran bagi orang yang berhadath. Diriwayatkan pendapat ini dari kalangan para fuqaha' sahabat, dan para sahabat yang masyhur. Tidak diketahui pula ada yang berbeza di zaman mereka. Ini termasuk di dalam Ijmak Sukuti. Pendapat ini juga diakui dengan riwayat yang menyebut kisah pengislaman Umar, ketikamana beliau masuk menemui adiknya dan suami adiknya yang sedang membaca al-Quran. Lalu Omar berkata : "Berikan kepadaku kitab yang kamu baca yang berada disisi kamu berdua." Lalu adiknya berkata : "Sesungguhnya engkau najis, tidak menyentuhnya melainkan orang-orang yang suci, Bangun dan pergilah bersuci..." (Riwayat Darulqutni dan al-Baihaqi)

- Daripada 'Alqamah : "Kami bermusafir bersama Sulaiman al-Farisi, lalu dia menunaikan hajatnya (buang air). Kami berkata kepadanya : "Berwudhu'lah supaya kami boleh bertanya kepada mu tentang ayat al-Quran." jawabnya : "Bertanyalah kepada aku, dalam kadaan aku tidak menyentuhnya." Lalu kami baca (tanya) apa yang kami kehendaki." Di dalam riwayat yang lain Sulaiman al-Farisi berkata : "Tanyalah kepadaku dan aku tidak memegangnya (al-Quran), sesungguhnya al-Quran tidak menyentuhnya melainkan orang-orang yang suci." (Musnaf Ibn Abi Syaibah)

----------------

2- Boleh :

Diriwayatkan pendapat ini dari Ibn 'Abbas, al-Sya'bi, al-Dohhak, al-Hakam In 'Utaibah, Hammad bin Abi Sulaiman, Daud al-Zahiri dan ianya dari mazhab al-Zahiri.

Dalil Ulama Yang Membenarkan

1- Thabit di dalam Sahih al-Bukahri dan Muslim bahawasanya Nabi s.a.w. telah mengutus Dehyah al-Kalbi (دحية الكلبي ) menemui Herakle (هرقــل) maharaja Rom, dengan surat yang terkandung di dalamnya ayat al-Quran seperti yang saya sebutkan di dalam posting di atas.

Ibn Hazm berkata : "Ini perbuatan Nabi s.aw. yang telah mengutuskan surat yang mana di dalamnya ada ayat ini kepada Nasara. telah diyakini bahawasanya maharaja Rom tersebut menyentuhnya. Jika dibolehkan seorang kafir menyentuhnya. Maka harus pula bagi seorang muslim yang berhadath menyentuhnya dari bab keutamaan."

2- Tidak thabit larangan menyentuh al-Quran bagi orang yang berhadath samada dari al-Quran ataupun al-Sunnah. Maka jadilah hukumnya sebagai harus.

3- Apabila membaca al-Quran harus bagi orang yang berhadath, maka menyentuhnya lebih utama untuk dibolehkan tanpa hukum haram.

4- Dibolehkan kepada kanak-kanak membawa al-Quran sedangkan mereka itu berhadath. Ini menunjukkan bolehnya menyentuh al-Quran bagi orang yang berhadath.

Jawapan Golongan Kedua Kepada Golongan Pertama :

1- Ayat al-Quran (لا يمسه إلا المطهرون ) adalah jumlah Khabar/prediket (tidak menyentunya). Ianya bukanlah jumlah arahan (jangan menyentuh) dan bukan juga tuntutan untuk mesti suci apabila hendak menyentuh al-Quran.

Maksud tidak menyentuhnya (al-Kitab) di dalam ayat di atas ialah kitab yang ada di langit (Luh Mahfuz). Maka yang dimaksudkan dengan al-Mutahharun (makhluk-makhluk yang suci) itu ialah para Malaikat yang suci daripada Syirik dan dosa.

2- Semua hadith yang menunjukkan larangan menyentuh al-Quran bagi orang yang berhadath adalah lemah.

3- Dakwaan wujudnya ijmak tidak kuat kerana terdapat bukti yang menunjukkan adanya perbezaan pendapat di kalangan Tabi'ien dan generasi selepas mereka.

Bantahan Golongan Pertama Kepada Golongan Kedua :

1- Hadith penghantaran surat kepada Herakle itu menunjukkan bolehnya menyentuh risalah atau buku yang mengandungi satu ayat dari al-Quran atau seumpamanya. Benda seumpama ini tidak dinamakan Mushaf. Nabi s.a.w. juga hanya menyebutkan satu ayat al-Quran sahaja dengan memaksudkannya sebagai dakwah. Maka perbuatan seumpama ini adalah harus.

2- Dakwaan lemahnya semua hadith yang melarang menyentuh al-Quran bagi orang yang berhadath adalah tidak benar. Maka hukum asal harus itu tidak boleh digunakan lagi.

3- Kebenaran bagi orng yang berhadath membaca al-Quran adalah untuk orang yang berhadath kecil sahaja jika ada keperluan, disebabkan wujudnya kesukaran untuk berwudhu pada setiap kali hendak membaca al-Quran. Jika wujudnya kesukaran, maka datanglah keringanan kerana المشقة تجلب التيسير .

4- Kebenaran kanak-kanak membawa al-Quran adalah atas sebab keperluan untuk belajar. Bahkan kanak-kanak bukanlah mukallaf.

Jawapan Golongan Pertama Kepada Golongan Kedua :

1-(لا يمسه إلا المطهرون) adalah jumlah Khabar/prediket yang merangkumi larangan.

Dakwaan pengkhabar "Tidak menyentuhnya (al-Quran)", adalah al-Quran yang berada di Luh Mahfuz adalah tidak benar, kerana selepas ayat tersebut ALLAH menyebut : "Yang diturunkan daripada tuhan sekelian alam. " Ini menunjukkan al-Quran yang dimaksudkan ialah mashaf al-QUran yang berada di tangan manusia.

2- Dakwaan kelemahan semua hadith tentang larangan menyentuh al-Quran bagi orang yang berhadath adalah tidak benar. Jika sekalipun setiap satu hadith tersebut tidak sunyi dari kecacatan, namun dengan himpunan kesemua jalan-jalannya menaikkkannya kedarjat Hasan. Maka ia boleh dijadikan hujah dan wajib beramal dengannya. Kata al-Albani : "Bahawasanya hadith tersebut jalan-jalannya tidak sunyi dari kelemahan, akan tetapi kelemahan yang ringan. Dimana tidak ada (rawinya) yang dituduh berbohong, sebaliknya kelemahannya disebabkan Irsal dan hafalan yang lemah. Maka seperti yang diakui di dalam ilmu mustalah, bahawasanya jalan-jalan hadith menguatkan antara satu sama yang lain, sepertimana yang diakui oleh al-Nawawi di dalam Taqribnya, kemudian al-Suyuti di dalam Syarahnya. Maka berdasarkan ini diriku (al-ALbani) merasa tenang untuk mensahihkan hadith ini. Terutamanya telah berhujah dengannya Imam al-Sunnah Ahmad bin Hanbal... dan telah mensahihkannya oleh sahabat Imam Ahmad al-Imam Ishak bin Rahuwiah."(Irwa' al-Ghalil).

Rumusan :

Hukum menyentuh al-Quran bagi yang berhadath ini adalah sesuatu yang diperselisihkan di kalangan ulama, bahkan di kalangan para sahabat. Buktinya Dr. 'Umar bin Muhammad al-Sabil sendiri menyebut pendapat Ibn 'Abbas yang membolehkan menyentuh al-Quran bagi yang berhadath. Jika ianya ijmak mustahil wujud perbezaan pendapat di kalangan Tabi'ien. Dr. Husamuddin 'Ifanah pula mendakwa antara ulama mazhab Syafie yang mengharuskan wanita Haid memegang al-Quran ialah al-Muzani.

Jika meliihat kepada hujah-hujah kedua-dua pihak, kita akan mendapati kedua-duanya mendatangkan hujah dan dalil mereka. Maka jawapan kepada persoalan yang dilontarkan adalah seperti berikut :

1- Harus bagi wanita yang berhaid untuk dia membaca al-Quran dari hafalannya berdasarkan pendapat yang paling kuat dari dua pendapat ulama. Inilah pendapat Imam Malik, dan satu riwayat dari Imam Ahmad, Ibn Taimiyyah memilih pendapat ini. Demikian juga al-Albani dan al-Syaukani juga merajihkan pendapat ini berdasarkan ketiadaan dalil secara jelas yang melarangnya.

2- Tidak boleh wanita haid menyentuh al-Quran. Inilah pendapat keempat-empat Imam Mazhab. Dalil utama dalam masaalah ini ialah hadith :

لا يمس القرآن إلا طاهر

Maksudnya : "Tidak menyentuh al-Quran melainkan orang yang suci (daripada hadath kecil dan besar)."

Ulama yang mengharuskan wanita haid dari menyentuh al-Quran beralasan kalimat Tohir (طاهر = Suci/bersih) di dalam hadith di atas boleh membawa berbagai maksud antaranya ; suci daripada syirik, suci daripada hadath kecil atau besar dan suci daripada najis. Jadi mereka berpendapat kalimat ini boleh mewujudkan beberapa maksud. Maka ia tidak boleh dijadikan hujah dalam melarang wanita yang berhaid dari menyentuh al-Quran. Namun maksud Tohir di dalam hadith ini yang lebih kuat ialah suci dari hadath kecil dan besar. Ini berdasarkan ayat al-Quran :

وما يريد الله أن يجعل عليكم من حرج ولكن يريد لطهركم

Maksudnya : "dan ALLAH tidak menghendaki menjadikan kesusahan atas kamu, akan tetapi DIA menghendaki menbersihkan kamu." Ayat ini berbicara tentang wudhu dan tayammum.

Selain itu bukan menjadi tabiat Nabi s.a.w. menisbahkan orang mukmin sebagai Tohir yang membawa maksud suci/bersih daripada syirik (seperti yag difahami oleh ulama yang menharuskan wanita haid menyentuh al-Quran). Sebaliknya Nabi s.a.w. biasanya menisbahkan mereka dengan Iman. Ini menunjukkan kalimat Tohir di dalam hadith tersebut membawa maksud bersih/suci daripada hadath kecil dan besar. Inilah yang disebut oleh al-Syeikh al-Uthaimin di dalam al-Syarh al-Mumti'.

3- Sebagai langkah berhati-hati adalah baik untuk mengambil pendapat kempat-empat Imam Mazhab yang melarang wanita haid menyentuh al-Quran.

Isu 25 : Hukum Meletakkan Al-Quran Di Atas Lantai



Soalan:

Apakah hukum meletakkan al-Quran di atas lantai? Adakah wajib meletakkannya tinggi dari lantai?

Jawab:

Bismillah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad  dan seterusnya..
Tidak ada masalah utk meletakkan mashaf di atas lantai utk satu keperluan dan tidak bermaksud utk memperlekehkan dan menghina tetapi adalah lebih baik jika dapat diletakkan di atas tempat yg lebih tinggi sebagai menghormati kitab Allah.

Berkata Syeikh bin Baz:-
Meletakkan al-Quran di tempat yg tinggi adalah lebih baik misalnya di atas kerusi atau di rak di dinding dsb supaya ia lebih tinggi dari lantai dan jika diletakkan al-Quran di atas lantai utk suatu keperluan dan tidak bermaksud utk memperlekeh dan menghina, diletakkan di atas lantai yg bersih dgn beberapa sebab misalnya sedang bersolat dan tiada tempat yg tinggi atau hendak bersujud tilawah, maka tidak ada salah utk itu insyaAllah. Tetapi jika meletakkan di atas kerusi atau bantal atau di atas rak dsb itu adalah lebih berhati-hati, telah thabit dari Nabi Muhammad , ketika Baginda  meminta kitab Taurat utk merujuknya semula kerana ingkarnya kaum Yahudi terhadap hukuman had rejam yg dituntut dalam Taurat, Baginda  telah meminta kerusi dan meletakkan Taurat di atasnya lalu merujuknya sehingga menjumpai ayat mengenai rejam dan pendustaan org2 Yahudi.

Jika disyariatkan Taurat diletakkan di atas kerusi kerana di dalamnya terdapat Kalamullah maka al-Quran adalah lebih utama utk diletakkan di atas kerusi kerana ia lebih afdhal dari Taurat.
Kesimpulan: Meletakkan al-Quran di atas tempat yg tinggi seperti kerusi atau rak adalah lebih utama dan itu yang sepatutnya kerana meninggikan al-Quran itu bermaksud mengagungkan dan menghormatinya, namun kita juga tidak mengetahui sebarang dalil larangan meletakkan al-Quran di atas lantai yg bersih jika terdapat keperluan utk itu.

Isu 24 : hukum kencing berdiri..


Soal:

Terdapat riwayat dari Saidatina Aisyah r.ha yang mengatakan:
من حدثكم أن رسول الله صلى الله عليه وسلم بال قائما فلا تصدقوه
'Sesiapa yang memberitahu kamu bahawa Rasulullah  kencing berdiri maka janganlah kamu benarkan.'
Dan terdapat juga riwayat dari para sahabat r.hum yang mengatakan bahawa Nabi  kencing berdiri. Bagaimanakah kita menyesuaikan antara keduanya?

Jawab:

Penyesuaian antara hadith Aisyah r.ha dan hadith-hadith sahih bahawa Nabi  kencing berdiri, dan terdapat beberapa para sahabat r.hum berbuat demikian; bahawasanya Aisyah r.ha menceritakan apa yang berlaku di rumah, dan beliau tidak melihat Rasulullah  kencing berdiri. Ini tidaklah menafikan yang Rasulullah  kencing berdiri luar dari rumah kerana Aisyah r.ha tidak nampak hal itu, dan beberapa para sahabat r.hum melihatnya.

Kencing berdiri itu tidaklah dimakruhkan jika seseorang dapat memastikan ia tidak terpercik pada baju dan badan dgn sbb pergerakan angin dsb. Khususnya jika seseorang tidak dapat duduk atas sbb cedera/luka atau tiada tempat utk duduk atau tidak mungkin baginya menyembunyikan auratnya jika dia kencing duduk, atau sbb2 lain.

Sesetengah ulama' berpendapat bahawa qaul yg mengatakan kencing berdiri ini telah dibatalkan. Pendapat ini tidak sahih kerana qaul yg dinasakhkan adalah tidak boleh jika adanya persetujuan dan penyesuaian antara nas.

Berkata Imam al-Albani:
Adapun hadith "لا تبل قائما ", itu adalah hadith dha'if dan tidak mengapa kencing berdiri jika tidak terpercik. Berkata Ibn Hajar dalam fath al-Bari: Tidak thabit dari Nabi  sebarang larangan kencing berdiri.

Dari Nafi' dari Ibn Umar dari Umar  berkata:
ما بلت قائما منذ أسلمت
'Aku tidak kencing berdiri sejak aku memeluk Islam.' [Isnadnya sahih]
Dari jalan yang lain, Zaid berkata:
رأيت عمر بال قائما
'Aku nampak Umar  kencing berdiri.' [Isnadnya juga sahih]
Diharapkan kenyataan Zaid itu tadi adalah adalah selepas dari kenyataan Umar  dan selepas diterangkan padanya tidak mengapa kencing berdiri.

Dari Huzaifah :
أتى رسول الله صلى الله عليه وسلم سباطة (مكان مرتفع يستتر به) قوم ‏فبال قائما ثم دعا بماء فمسح على ‏خفيه ، فذهبت أتباعد فدعاني حتى كنت عند عقبه
'Rasulullah  datang di kebun suatu kaum dan Baginda  kencing berdiri. Kemudian Baginda  meminta air dan dia menyapu ke atas khufnya, aku menjauhkan diri darinya, Baginda  memanggilku sehingga aku berada di belakangnya.' [Riwayat Bukhari]

Adapun diriwayatkan dari Aisyah r.ha:
من حدثكم أن رسول الله صلى الله عليه وسلم بال قائما فلا تصدقوه
'Sesiapa yang memberitahu kamu bahawa Rasulullah  kencing berdiri maka janganlah kamu benarkan.' [Riwayat perawi yang lima kecuali Abu Daud dan isnadnya sahih]
Hadith ini adalah penafian, manakala hadith Huzaifah :radia adalah muthbit (menetapkan). Seperti yg kita tahu, muthbit mendahului nafi kerana hadith yg muthbit itu disertai dgn pengetahuan mengenai suatu keadaan itu. Maka kedua-duanya adalah dibolehkan dan wajib utk menjaga supaya air kencing tidak terpercik.
Adapun hadith:
من الخطأ أن يبول الرجل قائما
'Antara kesalahan seseorang adalah kencing berdiri.' Ia adalah mauquf dan tidak sah sbg marfu'. (Lihat al-Irwa' dan Silsilah as-Sahihah)

Dari kitab Faidh al-Qadir, syarah al-Jami' as-Saghir oleh Imam Manawi:
"Larangan Rasulullah  kencing berdiri menunjukkan ia makruh tanzih dan tidak haram. Adapun Baginda kencing berdiri itu menunjukkan keharusannya atau kerana tiadanya tempat yg sesuai utk duduk atau Baginda berdiri utk tidak memungkinkan keluarnya bunyi kerana Baginda berada berdekatan dgn manusia atau kerana org Arab mengubati penyakit hati dgn cara ini atau kerana kecederaan dsb yg tidak memungkinkan Baginda  utk duduk. Sesungguhnya kencing berdiri itu telah dimansukhkan dgn apa yg diriwayatkan oleh Aisyah r.ha:
ما بال قائماً منذ أنزل عليه القرآن
'Baginda  tidak kencing berdiri sejak diturunkan al-Quran kepadanya.'
Dan lagi..
من حدثكم أن رسول الله صلى الله عليه وسلم بال قائما فلا تصدقوه
'Sesiapa yang memberitahu kamu bahawa Rasulullah  kencing berdiri maka janganlah kamu benarkan.' [Riwayat perawi yang lima kecuali Abu Daud dan isnadnya sahih]"

Tetapi Imam Ibn Hajar berkata dalam Fath al-Bari:-
Yang tepatnya ia tidaklah dimansukhkan dan Aisyah r.ha hanya mengetahui apa yang berlaku di rumah, dan tekah thabit dari para sahabat r.hum, di antaranya Umar  dan Ali  kencing berdiri. Ini menunjukkan keharusan kencing berdiri tanpa makruh jika ia dapat dijaga dari terpercik dan tidak thabit larangan dari Nabi .

WaAllahuA'lam.

Isu 23 : Apakah Hukum Lafaz Cerai Melalui SMS


Sheikh Hamed Al-Ali, tenaga pengajar di Islamic Heritage di Fakulti Pendidikan Kuwait and Imam Masjid Dahiat As-Sabahiyya ,menjawab begini:

Pendapat yang paling betul ialah bahawa perceraian yang dibuat secara bertulis sememangnya dikira sama ada ia ditulis di atas kertas, teks SMS , atau dengan cara lain.

Namun demikian, kita harus pastikan bahawa si suami adalah orang yang menulis perkataan cerai itu. Jika dia mengakui bahawa dialah yang menulis kata-kata cerai itu, maka ia dikira dan dianggap sebagai satu perceraian yang sah. Jika tidak, maka mesti ada dua orang saksi untuk membuktikan bahawa beliaulah (si suami) yang menulis perkataan cerai itu kerana dikhuatiri barangkali yang menulisnya adalah orang lain.

Keterangan yang menunjukkan bahawa perceraian secara bertulis itu dikira ialah kerana tulisan itu mengungkapkan niat si penulis berkenaan. Nabi saw diberi tugas dengan menyampaikan risalah Islam dan ini dilakukan secara lisan dengan sesetengah orang dan sesetengahnya pula dengan cara bertulis, umpamanya dakwah terhadap raja-raja. Satu lagi keterangan bahawa cerai secara bertulis itu sah ialah bahawa tulisan seseorang hakim itu diterima bagi membuktikan wujudnya hutang dan hal lain sebagai ganti pernyataan beliau seperti yang dinyatakan oleh Ibn Qudamah dalam bukunya Al-Mughni.

Sah tidaknya cerai secara tulisan diputuskan oleh majoriti fuqaha terutamanya fuqaha mazhab yang 4. Bagaimanapun, sesetengah daripada mereka tetap menegaskan bahawa ia dikira meskipun jika si suami tidak meniatkan "cerai" . Fuqaha yang lain pula memutuskan bahawa ia tidak dikira cerai kecuali si suami meniatkan "cerai". Pendapat yang mutaakhir ialah pendapat Imam Abu Hanifa, Malik aan As-Shafi`i. Mereka menegaskan bahawa tulisan itu mungkin dimaksudkan sebagai menguji kelancaran dakwat pena/pen atau untuk meningkatkan gaya tulisan seseorang atau untuk membuatkan keluarga seseorang itu berasa sedih (menerusi penulisan kata-kata cerai itu); oleh yang demikian tulisan itu dibuat dengan tidak meniatkan "cerai".


Secara peribadi, saya sependapat dengan pendapat yang terakhir itu.

Sheikh Ahmad Kutty, Imam dan pengarah agama Pusat Islam Toronto (Masjid Jamek) dan Yayasan Islam Toronto, dan tenaga pengajar Institut Islam Toronto, menambah, katanya:

"Ramai orang yang menggunakan e-mail dan kaedah lain dengan cara yang jahat. Apabila ia membabitkan soal cerai, sedangkan natijahnya adalah berat, ada baiknya jika seseorang itu mengambil langkah berhati-hati apabila menggunakan cara yang serius itu kerana ini boleh memporakperandakan sesebuah keluarga orang Islam. Cerai adalah suatu persoalan serius. Merupakan suatu kesilapan besar jika ia disalah guna.

Tentang menceraikan isteri menerusi e-mail atau menghantar teks melalui SMS, kita perlu lihat dua perkara penting:

1- Jika si suami mengakui bahawa beliau menulis perkataan cerai itu, maka perceraian itu sah dan dikira sebagai jatuh satu talak.

2- Jika si suami tidak mengakui atau jika dia berada di tempat lain dan dia tidak dapat dihubungi, sedangkan si isteri telah menerima e-mail atau SMS di telefonnya (telefon si isteri), maka kita harus tangani isu ini berdasarkan kaedah perundangan / fiqh iaitu : "pasti tidak boleh disingkirkan oleh keraguan". Apakah yang "pasti" itu: yang pasti itu ialah "wujudnya perkahwinan mereka". Apakah yang menjadi " keraguan" itu : yang menjadi "keraguan" itu ialah "perceraian mereka". Dengan yang demikian, perkahwinan mereka tidak boleh termansuh kecuali jika ada dua orang saksi yang adil yang dapat membuktikan bahawa si suamilah orang yang "menulis" perkataan "cerai" itu. Jika tidak ada dua saksi yang adil dan si suami tidak mengakui bahawa dia telah mengeluarkan tulisan ":cerai" maka si isteri dikira masih isteri beliau dan dia berhak penuh untuk mendapatkan haknya sebagai seorang isteri.

Kita perlu berhati-hati dalam perkara ini kerana berlakunya kerosakan akhlak dan pencemaran yang berleluasa pada masa ini dan kita tidak boleh dengan mudah mengetahui mana satu yang benar dan mana satu yang palsu. Pada zaman Nabi saw dulu atau pada zaman sahabat ra., kesnya adalah berbeza. Kini kita berdepan dengan terlalu banyak fitnah dan kerosakan akhlak/pencemaran yang begitu berleluasa, jadi kita terpaksalah berhati-hati pada orang yang mahu menyebabkan masalah terutamanya terhadap ikatan suci seperti halnya sebuah perkahwinan .

Isu 22 : Apakah Hukum bekerja di kedai yg menjual Arak


Soalan:

Adakah pendapatan pekerja-pekerja yang bekerja dalam kedai menjual
makanan yang di dalamnya alkohol turut dijual, boleh dkira halal?
Adakah Islam membenarkan umatnya makan di restoran
yang di dalamnya makanan yang haram turut dijual?
Terima kasih.

Jawapan:

Perlu jelas bahawa dalam Islam, bukan sahaja haram makan minum
makanan atau minuman yang haram, tetapi adalah juga haram untuk
mempromosi (memasarkan, mengiklankan, memperagakan, mempamerkan)
membiarkan, membantu atau menolong perbuatan-perbuatan itu. Nabi saw
bukan setakat berhenti pada titik melarang meminum alkohol,. sama
ada banyak atau sedikit, tetapi Baginda malah turut melarang perbuatan
memperdagangkan arak/alkohol/minuman keras, meskipun dengan
orang bukan Islam. Muslim tidak dibenarkan mengimport mahupun
mengeksport minuman beralkohol, atau untuk mengeluarkan, menyajikan,
mengendalikan atau menjualnya. Berkaitan dengan
alkohol Nabi saw melaknat sepuluh golongan manusia dengan sabdanya:
"Sesungguhnya, Allah telah melaknat khamar (minuman beralkohol) dan telah melaknat orang yang mengeluarkannya, orang yang untuknya ia dikeluarkan, orang yang meminumnya, orang yang menyajikannya, orang yang mambawanya, orang yang untuknya ia dibawa, orang yang menjualnya, orang yang memperoleh hasil jualannya, orang yang membelinya, dan orang yang baginya ia dibeli."
(Riwayat At-Tirmidhi dan Ibn Majah)

Terhadap pertanyaan saudari, Dr. Monzer Kahf,. seorang kaunselor dan pakar ekonomi, berkata:

"Pendapatan sebagai pampasan kerana bekerja di kedai yang di dalamnya
alkohol dijual adalah dibenarkan dengan syarat (jenis) kerja itu tidak membabitkan kerja-kerja mengendalikan minuman beralkohol, kerana kerja-kerja mengendalikan arak ini tidak dibenarkan dan akibatnya bayaran yang diterima itu hasil perbuatan
yang dilarang/diharamkan itu kelak dikira tidak diperoleh secara yang halal dari kaca mata Syariah.

Lebih dahsyat lagi jika pembeli alkohol itu adalah orang Islam sendiri
sedangkan minuman keras tidak dikira sebagai harta bagi orang Islam,
dan satu-satunya tindakan yang harus dilakukan ialah dengan
memusnahkan minuman keras itu dan membuang airnya ke dalam parit/
longkang, tetapi bagi orang bukan Islam (meskipun mereka berada di tanah tanah/negara Islam dan di bawah kuasa undang-undang Islam,
minuman beralkohol dikira harta (orang bukan Islam) yang dilindungi
oleh undang-undang Islam.

Makan minum di restoran halal yang di dalamnya menjual minuman
keras./minuman beralkohol adalah dibenarkan asalkan anda tidak
berkongsi meja makan dengan orang yang meminum minuman keras
itu. Akan tetapi, pemunya restoran tersebut patut berasa malu
kerana menawarkan makanan/daging halal di samping menjual minuman keras."

Islam mengharamkan Alkohol dan Dadah
Alkohol tidak boleh diberikan sebagai Hadiah/Pemberian

WaAllahuA'lam..

Wednesday, 29 August 2012

Isu 21 : Apakah Hukum Sembahyang di atas Kapal Terbang jika dalam keadaan Air yg tidak mencukupi dan tiada ruang solat yg disediakan..?


Apakah Hukum Sembahyang atas Kapal Terbang jika dalam keadaan Air yg tidak mencukupi dan tiada ruang solat yg disediakan..?


Soalan

Saya didalam kapal terbang Malaysia Airlines dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Makkah baru-baru ini, penerbangan hanya memakan masa 8 jam sahaja , sampai masuk waktu maghrib saya mengambil wudhuk dengan hanya air sebotol (tiada air yg disediakan ). Air tersebut hanya cukup untuk merata angota wudhuk sekali sahaja.Saya sembahyang diruang tengah dan tidak mampu untuk mengubah kearah yang saya rasa disebelah itu-lah kiblat disebabkan  kesempitan, Ini kerana Malaysia Airlines tidak menyediakan kemudahan Ruang Solat.
 

Persoalannya : Apakah sah wudhuk dan sembahyang yang saya lakukan? 

Am’mar Yusoff
Penang

 JAWAPAN

Terima Kasih Am’mar kerana melayari laman web kami.Alhamdullah jawapannya adalah begini :

Jumhur ulama’ bersependapat jumlah air sebotol itu mencukupi untuk berwudhu'; tambahan pula dalam perjalanan seseorang boleh menyapu stokin atau khuf (jika telah berwudhu sebelum memulakan perjalanan); maka penggunaan amatlah minima semasa musafir. Sukatan air satu sa' dan satu mud dalam feqah berbeza mengikut madzhab dan Imam-imam (Ulama’ fiqh).Sila Rujuk Kitab-kitab yang muktabar yg berkaitan.

Solat atas kapalterbang menuntut kita menghadap kiblat semampu yg mungkin sahaja kerana hukum solat dalam kenderaan yang bergerak tidak mensyaratkan kita mempastikan arah kiblat dengan tepat kerana kenderaan itu sentiasa bergerak dan kiblat boleh berubah dengan serta-merta.

Kesimpulan: wudhu' anda sah dan solat anda juga adalah sah.

Wa'ahua'lam. Sila layari lagi ibnubaijuri.blogsport.com

Rujukan
1.As-syikh sya’rawi, solat 'ala Madzhaahib Arba'ah (solat menurut empat madzhab),